Sunday 17 November 2013

Sungai Chilling



Ia sebuah penciptaan maha hebat. Bermusafir sebelum subuh pada Jumaat itu telah memberikan suatu pengalaman berharga. Bermula dengan membungkus nasi lemak dan bihun goreng untuk bekalan, kami bersedia tanpa mandi seawal jam lima pagi lagi. Pakaian biasa. Girang bercampur durja. Entah mengapa si kawan itu ada saja penolakan dari ibunya. Belum lagi bermula, sudah panjang bicaranya. Tak pasti jua. Yang tiga terus bersiap siaga walau tak pasti apa di dalam jiwa kawan yang satu itu. Namun senyuman tetap mekar di wajah syahdu. Penyembunyian.

Memilih laluan ke Kuala Kubu Baru dari sebuah lokasi di Selangor juga, membuatkan suasana jadi kecoh seketika. Hatta hendak kencing pun berbalah lokasi, entah kenapa. Solat di Rehat dan Rawat Rawang, melepaskan hajat sekali dua, lantas terus ke Tanjung Malim. Hujan rintik pula mula menjadi teman perjalanan. Singgah di sekitar pekan membeli apa yang sedap di mata, terlintas di mata. Rambang.

Awal tiba. Kosong tiada siapa. Empat sekawan menjadi pengunjung pertama menulis nama pada buku pendaftaran di pondok itu. Kemudian barulah ada sekumpulan belia dari Sentul bersama-sama. Rupanya ia hanya boleh dimasuki pada Jumaat hingga Ahad. Nasib Baik. Berbekalkan peta di lokasi, redah saja lah. Seawal lepas jambatan gantung lagi, sudah tersasar laluan, meredah laluan yang pacak mencanak. Oh tidak. Pasti bukan ini kerana tiada tanda tersadai di mana-mana. Kumpulan belia tadi laju ke depan. Tinggal.

Hanya berbekalkan tanda palstik merah putih, tali rapia biru, kain hijau, menunjuk arah ke sebuah air terjun itu. Kena redah sungai. Berapa? Empat katanya. Jalan punya jalan, gelak punya gelak, dengki punya dengki, was-was bersilih ganti, akhirnya sampai ke crossriver 2. Eh, mana yang pertama? Tak kisah lah. Teruskan meredah  sungai yang pastinya sejuk yang mulanya hanya di paras betis. Lama ke tengah, makin dalam lah pula. Si lelaki bila air paras ke tengah badan, mula lah tak tahan kesejukan! Opps. Layankan aje. Banyaknya ikan?.Roti.

Gambar tak lupa ambil. Roti kongsi dengan ikan. Oh lupa segala duka lara. Inilah keajaiban alam. Harmoni suara unggas dan air sungai meresap ke lubuk hati. Syahdu. Zikir terus dibaca. Laluan masih tak pasti. Sesat atau sampai ke penamat. Satu demi satu laluan ditempuhi, bukan dua atau tiga sungai yang perlu diredahi, tapi enam. Andai hujan, pasti kami akan tersekat di mana-mana sebab tak dapat nak lalu air yang deras. Tawakkal.

Sekadar melayan laluan yang tersedia ada. Enam anak sungai telah diredah. Pengakhiran jalan itu adalah sebuah ciptaan Tuhan yang pasti menggamit kenangan. Ia benar. Terjahan air dari rekahan batu yang membentuk air terjun tiga tingkat pasti memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Subhanallah. Alhamdulillah kerana dengan izin dapat melihat ciptaanMu. Air Nampak besar. Kumpulan belia tadi sudah tak berbaju sana sini, ada yang renang, ada yang makan, ada yang gelak sakan. Kami memberi salam. Tapi ada seseorang ni yang nampaknya telah menyakiti hati kawan seorang itu tadi yang membuatkannya berdoa. Pembalasan.

Sejuk bukan kepalang, namun digagahkan juga untuk menjamah air di pengaliran. Renang dan renang. Akhirnya tekad untuk menjejak kaki di atas batu yang tinggi. Licin. Percubaan pertama gagal. Kali kedua membuahkan hasil. Tatkala itu juga, dua orang dari belia sedang menanti giliran membuat penerjunan dari batu lebih tinggi. Aku di sini. Kala kami bersedia, tiba-tiba isyarat dari tebing menyatakan ada ular di air. Semua naik. Terjun tak jadi. Cermin mata tak pakai. Tak Jelas. Nampak si belia yang menyakiti hati kawan itu tadi cuba mengalihkan ular dengan menggunakan ranting kayu. Tekad.

Ular dialih dengan perlahan. Namun cemas tetap ada. Doa dibaca. Dari kejauhan, Nampak ekor berjuntai. Mungkin ular dalam tiga kaki panjang, tiga jari lebar. Warna tak Nampak. Semua diam melihat. Bila sudah dialihkan ke kawasan hutan, semua mula nak mandi semula. Memang tak bunuh pun ular tu. Mandi punya mandi, si belia itu tiba-tiba datang dengan jari berdarah ke kawasan air. Kenapa? Kena ekor ular atau dipatuk ular? Tapi katanya ok saja. Aku tetap memerhati dari perbatuan. Akhirnya ambil keputusan untuk melihat belia itu. Cedera yang bagaimana agaknya. Luka bak dihiris pisau. Maka, pasti badan, bukan patukan, mungkin ekor libasan. Pembalasan?

Bertanya pada si kawan itu, katenye memang dia sakit hati dan doa yang kurang baik akan terjadi. Balasan tunai? Subhanallah. Adakah itu bermakna doa orang yang teraniaya itu sememangnya makbul? Dengan izin Allah. Keriangan tetap diteruskan. Kumpulan kami memberikan pita pembalut kepada belia itu dan teruskan mencari keriangan hati. Lagi naik mentari, lagi ramai yang mengunjungi. Ada dari ampang, ada kumpulan wanita yang berpurdah, keluarga cina dan juga warga tempatan. Nampaknya di atas ni juga banyak ikan dan terjaga kesuciannya. Tapi segelintir manusia enggan menjaga kebersihan. Sampah.

Tambah tolak darab bahagi, kami mengambil keputusan untuk turun ke bawah perlahan-lahan sebab dah ramai di atas. Salam perkenalan juga kepada yang baru tiba, ada yang mesra, ada yang tak biasa. Kami biasa-biasa saja. Turun pun pelan je, rehat santai-santaidan akhirnya tandatangan di buku, tanda dah keluar dari kawasan hutan simpan dara itu. Sampai di kereta, sambil tukar pakaian bersih, hujan mula turun dengan lebat. Kami bertuah, sempat. Kemudian terus ke masjid berhampiran untuk solat jamak-qasar, menunaikan tanggungjawab dan melafazkan syukur selamat di perjalanan. Alhamdulillah.

Kawan itu dapat telefon. Emak. Pelik.

Perjalanan penuh muhibah. Duka lara gembira semua ada. Tapi syahdu tetap mengakhir episode jiwa.